Friday 21 October 2011

Info Kerjaya : Ahli Forensik



Melihat siri televisyen berbentuk penyiasatan, Crime Scene Investigation (CSI) nyata sangat mengujakan, terutama bagi yang meminati bidang sains kerana memperlihatkan keupayaan sekumpulan pakar dalam merungkai pelbagai jenis kes jenayah. Sejak siri itu disiarkan, bidang penyiasatan saintifik atau lebih dikenali sebagai forensik semakin dikenali dan diminati, sekali gus ramai yang mengidamkann kerjaya Ahli Forensik sebagai cita-cita masa depan mereka.


Ahli Forensik adalah individu yang bertanggungjawab menyiasat jenayah dengan mengumpul dan menganalisis bukti fizikal seperti cap jari, bekas tapak kasut, kesan laluan tayar kenderaan dan juga autopsi.

Perkataan "forensik" bermaksud "yang berkaitan dengan hukum". Yang mana sains forensik menyelesaikan masalah hukum dengan menerapkan prinsip-prinsip saintifik. Ahli forensik melakukan komprehensif saintifik kimia dan analisis tentang bukti fizikal yang diajukan oleh lembaga penguatkuasa undang-undang. Pekerjaan mereka seringkali berperanan dalam menangkap dan  membasmi jenayah. Walaupun kebanyakan tumpuan sains forensik adalah berkenaan tentang kes-kes jenayah dan kadang-kala disebut sebagai criminalist, mereka turut bekerja di dalam sistem penghakiman sivil, contohnya melakukan perbandingan tulisan tangan untuk menentukan kesahihan tanda tangan terhadap surat wasiat.


Kerjaya forensik boleh dibahagikan kepada 2 bahagian utama iaitu di makmal dan lapangan. Setiap satu daripadanya saling kaitan antara satu sama lain. Kesukaran sesuatu kes adalah bergantungan kepada jumlah bahan bukti yang ditemui di tempat kejadian, sebelum dikumpulkan untuk dianalisis.

Lapangan. Penyiasatan terhadap kes jenayah yang berlaku di tempat kejadian seperti kebakaran, letupan, dan pembunuhan. Segala bukti-bukti di tempat kejadian seperti cap jari, bekas tapak kasut, kesan laluan tayar kenderaan, tompokan darah, kesan kebakaran atau letupan direkodkan dan dikumpulkan untuk dianalisis. Kerjaya Forensik ini memerlukan penglihatan yang tajam kerana sehelai rambut yang melekat pada kertas hitam di dalam kawasan yang hitam dan gelap boleh dijadikan bukti yang sahih untuk membawa penjenayah yang terlibat ke muka pengadilan. Makmal. Segala bahan bukti yang telah dikumpulkan semasa di tempat kejadian di perhalusi dan dianalisis untuk mendapatkan kaitan terhadap kes.

Berikut merupakan 4 skop utama bidang kerja ahli forensik…


  • Merakam jejak penemuan dan mengumpul bukti daripada adegan-adegan jenayah atau kemalangan.
  • Menganalisis sampel seperti rambut, cairan tubuh, kaca, cat dan ubat-ubatan di makmal.
  • Mengaplikasi pelbagai teknik yang sesuai seperti perbandingan DNA profil, menjangka masa kejadian, serta deduksi terhadap kes.
  • Memberikan bukti di mahkamah, sebagai bukti sahih untuk mensabitkan tertuduh bersalah.


Antara skop-skop bidang tugasan kerja ahli forensik yang lain adalah…
  • Memeriksa, menguji, dan menganalisis sampel rangkaian, zat kimia, fizikal bahan, dan bukti balistik.
  • Merakam, mengukur, dan membuat pengujian data-data dan bukti-bukti jenayah di tempat kejadian dengan menggunakan peralatan khas.
  • Menginterpretasikan penemuan-penemuan makmal dan keputusan ujian untuk mengenalpasti dan mengelaskan bahan, material, dan bukti-bukti lain yang dikumpulkan di tempat kejadian.
  • Mengumpul dan mengekalkan bukti-bukti jenayah yang digunakan untuk menyelesaikan kes-kes.
  • Membuat perbandingan balistik, cap jari, tulisan tangan, dokumen, elektronik, perubatan serta bahan kimia, mengenai bukti dan deduksi terhadap bagaimana jenayah dilakukan.
  • Melakonkan semula jenayah di tempat kejadian untuk menentukan hubungan di antara bukti-bukti sedia ada.
  • Menyiapkan laporan kes, deduksi penemuan, kaedah penyiasatan, serta hasil daripada kajian makmal.


Seorang ahli forensik perlulah mempunyai ciri-ciri krediabiliti seperti berkemahiran berkomunikasi dengan lancar, mempunyai daya fokus dan pemerhatian yang tajam, bekerja secara logikal dan berstruktur, berkebolehan untuk  bekerja dalam suasana yang tegang, berkemahiran untuk membuat deduksi bayangan serta mempunyai daya imaginasi yang tinggi.

Oleh itu, bagi adik-adik yang berminat untuk menjadikan kerjaya forensik ini sebagai satu profession, adik-adik bolehlah mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) sebelum melanjutkan pengajian ke bidang Sarjana Sains (Sains Forensik) yang mana ditawarkan di Universiti Teknologi Malaysia. Melalui kursus ini juga, adik-adik berpeluang untuk merasai suasana kerja ahli forensik yang sebenar melalui penempatan praktikum makmal (Lab Practicium) di Makmal Forensik Polis DiRaja Malaysia(PDRM) semasa Latihan Industri serta merasai sendiri suasana di dalam mahkamah sebagai saksi pakar melalui sesi Moot Court.

No comments:

Post a Comment