Monday 31 October 2011

Info Kerjaya : Akauntan




Perkaunan merupakan bidang yang berkaitan dengan aspek kewangan perniagaan.  Antara aktiviti yang terlibat dengan perakaunan adalah aktiviti merekod, pemprosesan serta penyediaan,  penyimpanan dan pengauditan maklumat kewangan perniagaan.
Terdapat tiga cabang perakaunan iaitu:
  1. Perakaunan Pengurusan: berkaitan dengan pengurusan, penilaian kos serta menyediakan maklumat pengurusan bagi membuat keputusan. Sebagai contoh, persoalan mengenai jumlah kos yang diperlukan bagi menghasilkan sebungkus kerepek dan berapa bungkus kerepek yang perlu dijual bagi mengembalikan modal.
  2. Perakaunan Kewangan: berkaitan persoalan mengenai jumlah keuntungan yang diperoleh, jumlah jualan serta perbelanjaan harian, serta modal dan peralatan yang digunakan untuk menjalankan perniagaan.
  3. Percukaian: berkaitan pengiraan cukai terhadap pendapatan individu dan keuntungan perniagaan. Pengauditan pula adalah proses pengesahan penyata kewangan yang disediakan bagi memastikan penyediaan penyata kewangan berdasarkan konsep dan piawaian yang telah ditetapkan.
 
 Antara tugas seorang akauntan adalah:
  1. Memberi nasihat, merancang dan melaksanakan dasar dan sistem belanjawan, kawalan akaun dan perakaunan lain
  2. Menyediakan dan mengesahkan penyata kewangan untuk dibentangkan kepada pihak pengurusan, pemegang saham, badan berkanun dan badan-badan lain 
  3. Menyediakan penyata cukai, memberi nasihat mengenai masalah percukaian dan mempertahankan tuntutan yang dipertikaikan di hadapan pegawai cukai 
  4. Menyediakan atau melaporkan ramalan keuntungan dan belanjawan 
  5. Menyediakan kos projek dan analisis risiko
  6. Mengenal pasti bahagian pengurangan kos dan mencadangkan langkah-langkah penjimatan kawalan kos
  7. Menjalankan penyiasatan kewangan, melaksanakan audit, menyediakan laporan dan memberi nasihat mengenai perkara seperti penipuan yang disyaki, ketidakmampuan, kebankrapan, penyatuan, pembiayaan modal serta pembelian dan penjualan perniagaan 
  8. Bertindak sebagai ejen pembubaran dalam perkara berhubung dengan kebankrapan dan percukaian; Menjalankan tugas-tugas yang berkaitan
Jika adik-adik bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan, adik-adik mesti mempunyai kebolehan dalam membuat kira-kira serta menganalisa, membanding dan mentafsir fakta serta nombor. Subjek Matematik amat penting kerana kerjaya sebagai akauntan memerlukan adik-adik melakukan perkiraan dengan teliti.
 
Kerjaya sebagai akauntan membolehkan adik-adik bekerja di sektor kerajaan atau sektor swasta. Di sektor awam, adik-adik boleh bekerja di Jabatan-jabatan Kerajaan, Badan Berkanun dan pengusaha tempatan. Di sektor swasta pula, peluang pekerjaan terdapat di badan-badan perdagangan serta perindustrian, bank, syarikat insurans serta firma perakaunan.  


No comments:

Post a Comment