Wednesday, 14 December 2011

PPSMI Tetap Dimansuhkan 2012

Kementerian Pelajaran tetap dengan pendirian bahawa kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dimansuhkan berkuat kuasa 2012.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pendirian itu adalah muktamad dan tiada apa lagi yang perlu diperbincangkan mengenai perkara tersebut.
Kata beliau, isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan lagi kerana keputusan tersebut telah dipersetujui oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan negara melalui banyak perbincangan sebelum ini.
"Kita telah banyak berbincang dan menjalankan kajian sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan PPSMI berkuat kuasa 2012.
"Jadi sepatutnya tidak timbul lagi isu-isu mengenainya. Kementerian tetap dengan keputusan bahawa PPSMI akan dimansuhkan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) supaya PPSMI dijadikan sebagai opsyen di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.
Perkara tersebut dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan oleh Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diterima oleh Setiausaha Sulit Kanannya, Mohamad Amir Harun di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
PPSMI diperkenalkan pada 2003 bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar menerusi mata pelajaran sains dan matematik.
Bagaimanapun pada 2009, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar itu berkuat kuasa pada 2012, manakala sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menggunakan bahasa ibunda masing-masing bagi pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek berkenaan.
Menurut Puad, beliau faham tindakan Page itu adalah bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid serta pelajar sekolah.
Bagaimanapun, katanya, kementerian telah memutuskan bahawa PPSMI bukanlah langkah terbaik untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu sebaliknya akan memberi lebih tekanan kepada pelajar.
"Langkah terbaik ialah memberi penekanan kepada pengajaran serta pembelajaran bagi subjek Bahasa Inggeris itu sendiri bagi meningkatkan penguasaan bahasa tersebut dan kami memberi perhatian yang serius kepada perkara tersebut,'' jelas Puad lagi.

No comments:

Post a Comment